Monday, January 11, 2010

Perkhidmatan Pengembangan Strategik Pertanian & Bioteknologi

Written by Kaswadi Yusoff
Wednesday, 06 January 2010 15:28

KUALA TERENGGANU – Fakulti Pertanian dan Bioteknologi (FPB) dan Fakulti Teknologi Makanan (FTM) dengan kerjasama Pusat Rundingan dan Pengabdian Masyarakat (PRPM) Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) mengadakan satu sesi dialog bertajuk ` Perkhidmatan Pengembangan Strategik Pertanian dan Bioteknologi ’ pada 24 Disember 2009.

Dialog bersama 17 wakil jabatan pertanian negeri Terengganu itu diadakan untuk berkongsi kepakaran saintis UDM dan seterusnya menyumbang untuk pembangunan modal insan di kalangan masyarakat di negeri ini.

Antara agensi yang terlibat dalam sesi dialog itu ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Perikanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian, MARDI, LKIM, Lembaga Pertubuhan Peladang, RISDA, Yayasan Pembangunan Usahawan, Yayasan Pembangunan Keluarga dan Yayasan Terengganu.

Turut terlibat ialah TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia, Lembaga Tembakau Negara, Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Felda Wilayah Timur, Jabatan Pelajaran dan dua orang wakil dari ECERDC.

Sesi dialog yang diadakan di Kuala Terengganu Golf Resort itu juga telah membincangkan banyak isu dan permasalahan yang dihadapi oleh agensi-agensi ini dalam usaha memajukan pembangunan pertanian rakyat di negeri Terengganu.

Selain itu, wakil agensi ada mengutarakan cadangan supaya beberapa kampung di negeri ini dijadikan `kampung angkat’ oleh UDM khususnya dalam bidang pemprosesan makanan berasaskan pertanian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Tuan Haji Rozi Mamat dalam ucapan perasmian penutup berkata, langkah yang diambil oleh pihak UDM merupakan satu langkah permulaaan yang baik dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat petani di negeri ini.

``Saya berharap supaya kerjasama yang terjalin di antara pihak UDM dan agensi-agensi pertanian negeri Terengganu ini akan mewujudkan satu dimensi baru dalam industri pertanian,’’ katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Dekan FPB, Prof. Dr. Mat Zakaria dan Dekan FTM, Prof. Dr. Che Abdullah Abu Bakar.

Berita KASWADI YUSOFF UKK

Gambar UNIT INOVASI & MULTIMEDIA PTM


Last Updated on Thursday, 07 January 2010 07:34

No comments:

Related Posts with Thumbnails