Monday, July 19, 2010

MoA UniSZA-INCEIF


KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan The International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) pada 9 Julai 2010 bertempat di Hotel Primula.

MoA ini melibatkan Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dengan Kepujian di Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (FPPP).

Perjanjian ini membolehkan pihak UniSZA menawarkan lapan kursus Program Chartered Islamic Finance Professional (CIFP) ke dalam kurikulum Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dengan Kepujian.

Lapan kursus tersebut adalah Ekonomi Islam, Pasaran Modal Islam, Laporan Transaksi Institusi Kewangan, Pengurusan dan Perancangan Harta, Aspek Syariah dalam Perniagaan dan Kewangan, Deposit dan Operasi Kewangan Perbankan Islam, Pasaran dan Institusi Kewangan Islam dan Hukum Syariah Dalam Transaksi Kewangan.

Dengan penawaran kursus-kursus ini, pelajar akan memperolehi dua sijil iaitu Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dengan Kepujian dan CIFP Bahagian 1.

Ini adalah merupakan nilai tambah kepada graduan Kewangan Islam UniSZA dan diharapkan graduan UniSZA akan lebih berdaya saing berbanding dengan graduan universiti lain.

Kelayakan CIFP Bahagian 1 ini juga membolehkan pelajar mengambil CIFP Bahagian Kedua, yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setaraf dengan Ijazah Sarjana.


UniSZA diwakili oleh Naib Canselor, Dato’ Profesor Dr. Alias Daud manakala INCEIF diwakili oleh Dato’ Agil Natt, Presiden INCEIF.

Hadir sama menyaksikan majlis tersebut ialah Profesor Dr. Mohd Afandi Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA dan Ketua Program CIFP, Profesor Madya Dr. Shahul Hameed Hj Mohamed Ibrahim.

  • Sumber Berita Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan


Related Posts with Thumbnails