Friday, May 7, 2010

Lawatan Profesor Dr. Mohd Ismail Noor


Written by Kaswadi Yusoff
Thursday, 22 April 2010 15:38

KUALA TERENGGANU – Profesor Dr. Mohd Ismail Noor telah mengadakan lawatan sulung ke Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) kampus Kota pada 14 April 2010.

Beliau merupakan profesor pelawat bagi program Dietetik dan kini bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketibaan beliau disambut oleh Dekan, Profesor Dr. Ahmad Zubaidi Abd Latif dan kakitangan FPSK.

Profesor Dr. Ahmad Zubaidi memberi pembentangan secara ringkas sejarah FPSK UDM di Bilik Mesyuarat LPU dan beliau juga berharap agar Profesor Dr. Mohd Ismail dapat membantu penambahbaikan program Dietetik yang ditawarkan oleh FPSK.

Profesor Dr. Mohd Ismail juga turut mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar Dietetik di Makmal Kemahiran Klinikal 2 dan beliau menerangkan secara ringkas berkaitan penubuhan program Dietetik di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pada sebelah petang pula, satu ceramah akademik bertajuk `Malaysian Dietary Guideline 2010’ telah disampaikan oleh Profesor Dr. Mohd Ismail bertempat di Dewan Teater.

Seramai 70 orang peserta telah mengikuti ceramah akademik ini yang terdiri daripada wakil setiap Pusat Tanggungjawab UDM, Pegawai Dietetik Hospital Sultanah Nur Zahirah, kakitangan FPSK dan juga pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Dietetik.

Ceramah berkisar panduan pemakanan yang baru dilancarkan pada Persidangan Pemakanan Kebangsaan baru-baru ini.

Hadir sama pada ceramah itu ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FPSK, Profesor Dr. Nordin Simbak.

Related Posts with Thumbnails