Friday, May 7, 2010

Seminar Holistik 2010

Written by Kaswadi Yusoff
Thursday, 29 April 2010 09:15

KUALA TERENGGANU – Pusat Kajian Klinikal & Kualiti Hidup, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) telah menganjurkan satu seminar bertajuk Seminar Penjagaan Kesihatan Holistik 2010 pada 21 April baru-baru ini.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Abdul Manaf Ali mewakili Naib Canselor UDM, Dato’ Profesor Dr. Alias Daud.

Program ini mengandungi tiga siri ceramah dan perbincangan yang melibatkan penceramah-penceramah jemputan dari Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan dan juga seorang pakar psikologi kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada warga UDM tentang penjagaan kesihatan holistik sebagai pengembangan perspektif daripada perubatan konvensional dan juga memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan holistik dalam dunia perubatan dan kesihatan masyarakat sejagat.

Sesi dimulakan dengan ceramah bertajuk Enhancing Wellness Through Holistic Medicine yang telah disampaikan oleh Dr. Ramli Abd Ghani selaku Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, KKM.

Ceramah kedua yang bertajuk Quality of Life in Healthcare pula telah disampaikan oleh penceramah dari Pengarah, Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan iaitu Dr. Azman Abu Bakar.

Seminar ini telah berakhir dengan ceramah bertajuk Health Psychology in Holistic Healthcare yang telah disampaikan oleh Profesor Madya Hajah Normah Che Din yang merupakan Ketua Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UKM.

Hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UDM menghadiri seminar ini.

Sementara itu, majlis penutup telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UDM.

No comments:

Related Posts with Thumbnails