Tuesday, December 8, 2009

Majlis Penyerahan Zakat BIMB

KUALA TERENGGANU – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan wang zakat pendidikan berjumlah RM 30,000 kepada Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) untuk disalurkan kepada pelajar yang layak menerimanya.

Penyerahan zakat tersebut dilakukan oleh Pengurus Besar BIMB, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh kepada Naib Canselor , Dato’ Prof. Dr. Alias Daud dalam satu majlis ringkas di Bilik Mesyuarat LPU, UDM, baru-baru ini.

BIMB sebagai institusi kewangan yang mengamalkan prinsip perbankan Islam, memperuntukkan sejumlah zakat pendidikan untuk diagihkan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih.

Dalam majlis itu juga, Dato’ Prof. Dr Alias mengucapkan terima kasih kepada pihak BIMB kerana menyerahkan zakat tersebut dan agihan akan diberikan kepada pelajar yang memerlukannya.

``Saya amat berterima kasih kepada BIMB atas penyerahan wang zakat ini dan berharap kerjasama yang terjalin selama ini akan berterusan,’’ katanya.

Menurutnya, sumbangan ini juga sebagai salah satu komitmen dan tanggungjawab sosial BIMB untuk memajukan agenda pendidikan negara.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UDM, Prof. Dr. Mohd Afandi Muhamad, Pendaftar UDM, En. Nurul Huda@Ariffin Muda, Bendahari UDM, En. Baharin Salim dan juga wakil dari Pusat Tanggungjawab UDM.

Antara yang dibincangkan dalam majlis itu, peluang-peluang kerjasama yang boleh dilakukan antara pihak bank dan universiti pada masa akan datang.

Berita ROSLIZA ABDUL RAZAK UKK

Gambar KASWADI YUSOFF UKK

No comments:

Related Posts with Thumbnails