Sunday, December 13, 2009

Majlis Penyerahan Pita Rakaman Buku Kepada PERTIS




GONG BADAK – Harapan dan impian Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu untuk menambah bahan bacaan agama tecapai apabila Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) melalui Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) telah menyerahkan pita rakaman buku kepada persatuan tersebut pada 17 November 2009.

Pita yang dirakamkan oleh 114 orang pelajar Jabatan Dakwah, FKI itu adalah untuk memenuhi tanggungjawab UDM menyalurkan bahan-bahan dakwah kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan dalam bentuk 40 judul buku agama yang merangkumi pelbagai tajuk dan bidang seperti akidah, ibadah, akhlak, pemikiran dan juga isu-isu semasa.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Abdul Manaf Ali telah menyerahkan rakaman tersebut bersama wang tunai sebanyak RM 1000 kepada Yang Dipertua PERTIS Terengganu, Mohd Fauzi Mansor pada satu majlis yang diadakan di Dewan Persidangan, UDM Kampus KUSZA.

Pada majlis itu juga, turut diadakan sesi dialog antara ahli PERTIS dengan pihak UDM.

Pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh pihak PERTIS untuk tindakan UDM dalam merealisasikan hasrat untuk memasyarakatkan universiti menerusi kerja-kerja amal dan khidmat masyarakat.

Pihak PERTIS juga melahirkan rasa bangga dengan penglibatan UDM dalam usaha membantu meningkatkan penghayatan nilai-nilai Islam dikalangan OKU.

Menurut mereka, usaha ini bukan sahaja dapat mendekatkan UDM dengan masyarakat tetapi juga mampu melatih bakal graduan dakwah yang dapat menguasai aspek teori dan praktikal menerusi kerja-kerja sosial.

Hadir sama pada majlis itu ialah Dekan FKI, Prof. Dr. Abdul Hadi Zakaria, Yang Dipertua PERTIS Malaysia, Mohamed Ismail, kakitangan dan pelajar UDM.

No comments:

Related Posts with Thumbnails