KUALA TERENGGANU – Pusat Islam, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) menganjurkan Program Berkhatan dengan bertemakan “Mewarisi Generasi Sihat dan Soleh” pagi ini bertempat di Masjid dan Pusat Kesihatan UDM, kampus KUSZA.
Program yang dirasmikan oleh Pengarah Pusat Islam, Azhar Yaacob ini mendapat perhatian masyarakat setempat dan warga universiti berdasarkan jumlah peserta seramai 45 orang dan secara tidak langsung menggambarkan keharmonian yang wujud di kalangan masyarakat setempat dan universiti.
``Saya amat terkejut dengan penyertaan yang melebihi sasaran jawatankuasa masjid dimana kita mengganggarkan seramai 40 orang pada penganjuran kali pertama ini’’ katanya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud dan Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Inovasi, Noordin Asimi Mohd Nor serta staf Pusat Islam dan fakulti Perubatan & Sains Kesihatan selaku urusetia program.
Program berkhatan ini dikendalikan oleh tiga orang pakar perubatan UDM , Prof. Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif, Dr. Aminuddin Abdul Rahman serta Prof. Dr. Nordin Simbak dan beberapa pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Program dibahagikan dua sesi iaitu sesi pagi seramai 20 orang dan 24 orang pada sesi petang.
Peserta terdiri daripada 16 buah sekolah sekitar Terengganu dan Kelantan. Manakala peserta paling muda berusia lima tahun, Muhammad Hasif Afifi bin Azhar.
Program yang berjalan dengan meriah ini diharapkan dapat memajukan masyarakat ke arah meningkatkan keimanan danketaqwaan serta mampu untuk mengeratkan hubungan silaturrahim seluruh warga universiti serta masyarakat setempat dan yang paling diharapkan adalah semoga program ini mendapat keredhaan Allah s.w.t .
Berita ROSLIZA ABDUL RAZAK UKK
No comments:
Post a Comment