Monday, July 19, 2010

MoA UniSZA-INCEIF


KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan The International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) pada 9 Julai 2010 bertempat di Hotel Primula.

MoA ini melibatkan Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dengan Kepujian di Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (FPPP).

Perjanjian ini membolehkan pihak UniSZA menawarkan lapan kursus Program Chartered Islamic Finance Professional (CIFP) ke dalam kurikulum Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dengan Kepujian.

Lapan kursus tersebut adalah Ekonomi Islam, Pasaran Modal Islam, Laporan Transaksi Institusi Kewangan, Pengurusan dan Perancangan Harta, Aspek Syariah dalam Perniagaan dan Kewangan, Deposit dan Operasi Kewangan Perbankan Islam, Pasaran dan Institusi Kewangan Islam dan Hukum Syariah Dalam Transaksi Kewangan.

Dengan penawaran kursus-kursus ini, pelajar akan memperolehi dua sijil iaitu Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dengan Kepujian dan CIFP Bahagian 1.

Ini adalah merupakan nilai tambah kepada graduan Kewangan Islam UniSZA dan diharapkan graduan UniSZA akan lebih berdaya saing berbanding dengan graduan universiti lain.

Kelayakan CIFP Bahagian 1 ini juga membolehkan pelajar mengambil CIFP Bahagian Kedua, yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setaraf dengan Ijazah Sarjana.


UniSZA diwakili oleh Naib Canselor, Dato’ Profesor Dr. Alias Daud manakala INCEIF diwakili oleh Dato’ Agil Natt, Presiden INCEIF.

Hadir sama menyaksikan majlis tersebut ialah Profesor Dr. Mohd Afandi Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA dan Ketua Program CIFP, Profesor Madya Dr. Shahul Hameed Hj Mohamed Ibrahim.

  • Sumber Berita Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan


Friday, May 7, 2010

Program Cakna Berat/Wellness dan MYHESS 2010



Written by Kaswadi Yusoff
Thursday, 06 May 2010 14:54

KUALA TERENGGANU – Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK) dan Pusat Kesihatan Pelajar (PKP), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) menganjurkan Program Cakna Berat/Wellness dan MYHESS 2010 pada 6 Mei 2010 pagi tadi.

Program yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UDM Kampus KUSZA bermula dengan acara senamrobik yang disertai oleh kira-kira 100 orang terdiri daripada kakitangan universiti dan dikendalikan oleh Wan Saidi Wan Mohd.

Selain daripada itu, satu ceramah kesihatan bertajuk `Pemakanan Sihat’ telah disampaikan oleh Shuhanim Shukri, Pegawai Zat Makanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sementara itu pula, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UDM, Profesor Dr. Abdul Manaf Ali didalam ucapan perasmian berkata, pihak pengurusan universiti sentiasa menyokong penuh penganjuran program-program yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

Beliau juga berharap semua kakitangan UDM membuat pemeriksaan kesihatan tahunan dalam menentukan tahap kesihatan mereka.

Seramai 100 peserta mengikuti ujian MYHESS yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu manakala 24 peserta mengikuti program cakna berat.

Berita KASWADI YUSOFF UKK

Seminar Holistik 2010

Written by Kaswadi Yusoff
Thursday, 29 April 2010 09:15

KUALA TERENGGANU – Pusat Kajian Klinikal & Kualiti Hidup, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) telah menganjurkan satu seminar bertajuk Seminar Penjagaan Kesihatan Holistik 2010 pada 21 April baru-baru ini.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Abdul Manaf Ali mewakili Naib Canselor UDM, Dato’ Profesor Dr. Alias Daud.

Program ini mengandungi tiga siri ceramah dan perbincangan yang melibatkan penceramah-penceramah jemputan dari Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan dan juga seorang pakar psikologi kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada warga UDM tentang penjagaan kesihatan holistik sebagai pengembangan perspektif daripada perubatan konvensional dan juga memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan holistik dalam dunia perubatan dan kesihatan masyarakat sejagat.

Sesi dimulakan dengan ceramah bertajuk Enhancing Wellness Through Holistic Medicine yang telah disampaikan oleh Dr. Ramli Abd Ghani selaku Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, KKM.

Ceramah kedua yang bertajuk Quality of Life in Healthcare pula telah disampaikan oleh penceramah dari Pengarah, Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan iaitu Dr. Azman Abu Bakar.

Seminar ini telah berakhir dengan ceramah bertajuk Health Psychology in Holistic Healthcare yang telah disampaikan oleh Profesor Madya Hajah Normah Che Din yang merupakan Ketua Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UKM.

Hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UDM menghadiri seminar ini.

Sementara itu, majlis penutup telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UDM.

Lawatan Profesor Dr. Mohd Ismail Noor


Written by Kaswadi Yusoff
Thursday, 22 April 2010 15:38

KUALA TERENGGANU – Profesor Dr. Mohd Ismail Noor telah mengadakan lawatan sulung ke Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) kampus Kota pada 14 April 2010.

Beliau merupakan profesor pelawat bagi program Dietetik dan kini bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketibaan beliau disambut oleh Dekan, Profesor Dr. Ahmad Zubaidi Abd Latif dan kakitangan FPSK.

Profesor Dr. Ahmad Zubaidi memberi pembentangan secara ringkas sejarah FPSK UDM di Bilik Mesyuarat LPU dan beliau juga berharap agar Profesor Dr. Mohd Ismail dapat membantu penambahbaikan program Dietetik yang ditawarkan oleh FPSK.

Profesor Dr. Mohd Ismail juga turut mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar Dietetik di Makmal Kemahiran Klinikal 2 dan beliau menerangkan secara ringkas berkaitan penubuhan program Dietetik di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pada sebelah petang pula, satu ceramah akademik bertajuk `Malaysian Dietary Guideline 2010’ telah disampaikan oleh Profesor Dr. Mohd Ismail bertempat di Dewan Teater.

Seramai 70 orang peserta telah mengikuti ceramah akademik ini yang terdiri daripada wakil setiap Pusat Tanggungjawab UDM, Pegawai Dietetik Hospital Sultanah Nur Zahirah, kakitangan FPSK dan juga pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Dietetik.

Ceramah berkisar panduan pemakanan yang baru dilancarkan pada Persidangan Pemakanan Kebangsaan baru-baru ini.

Hadir sama pada ceramah itu ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FPSK, Profesor Dr. Nordin Simbak.

Tuesday, April 13, 2010

Bengkel Tatatertib & Surcaj 2010








Written by Kaswadi Yusoff
Wednesday, 31 March 2010 12:53

KUALA TERENGGANU – Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) telah menganjurkan Bengkel Tatatertib dan Surcaj 2010 pada 28-29 Mac lepas.

Bengkel selama dua hari itu berlangsung di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UDM Kampus KUSZA dan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik & Antarabangsa UDM, Prof. Dr. Mohd Afandi Muhamad.

Prof. Madya Abdul Aziz Hussin dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang telah dijemput sebagai fasilitator bengkel tersebut.

Seramai 87 orang peserta dari Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Sokongan I hadir pada hari pertama dan seramai 105 orang peserta dari Kumpulan Sokongan II & III hadir pada hari kedua bengkel.

Bengkel yang membincangkan Akta Universiti dan kolej Universiti 1971 dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib & Surcaj) 2000 diadakan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman kepada peserta mengenai akta-akta yang terpakai kepada mereka sebagai kakitangan universiti.

Penekanan perbincangan juga diberikan mengenai jenis-jenis kesalahan, prosedur tindakan tatatertib dan bentuk hukuman yang diperuntukkan di bawah akta tersebut.

Selain dari perbincangan dua hala, para peserta juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk berbincang dan seterusnya membentangkan hasil perbincangan.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Dekan FUHA, Noraida Harun.

Berita KASWADI YUSOFF UKK

Gambar KASWADI YUSOFF UKK

UNIT INOVASI & MULTIMEDIA PTM

Related Posts with Thumbnails