Wednesday, November 10, 2010

BENGKEL PENYEMBELIHAN HALAL 2010


KUALA TERENGGANU - Bengkel Penyembelihan Halal 2010 telah dianjurkan oleh Pusat Pengembangan & Khidmat Komuniti, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Makanan UniSZA, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu (JPVTRG), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Bengkel yang berlangsung pada 19 dan 20 Oktober 2010 ini disertai oleh 39 orang peserta terdiri dari JHEAT dan JPVTRG.

Majlis diisi dengan tiga sesi ceramah dimulakan oleh wakil UniSZA, Prof. Madya Dr. Mohamad Aziz Haji Taib dengan ceramah bertajuk ‘Kebajikan Haiwan Dalam Penyembelihan Halal’.

Manakala ceramah kedua berkaitan ‘Penyembelihan Halal dan Isu-Isu Semasa Penyembelihan Halal’ telah disampaikan oleh wakil JHEAT, Ustaz Mokhtar Salleh dan Dr. Siti Nurulasyikin Zaiton dari JPVTRG menyampaikan ceramah bertajuk ‘Post Mortem dan Hubungan Dengan Kesihatan Awam’.

Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai proses dan konsep pengurusan penyembelihan halal selain menambah pengetahuan serta kemahiran asas dalam penyembelihan haiwan mengikut hukum syarak.

Ujian praktikal penyembelihan ayam dilakukan di Makmal Pemprosesan Makanan, Fakulti Teknologi Makanan.

Sementara itu praktikal penyembelihan lembu dan kambing dilakukan di Rumah Sembelih Kg. Serating, Merchang dan para peserta dinilai oleh panel dari JHEAT.

Perasmian penutup bengkel dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Mat Zakaria, Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi, UniSZA yang turut dihadiri oleh wakil Pesuruhjaya JHEAT, wakil Pengarah Eksekutif MAIDAM, dan wakil pengarah JPVTRG.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat menyalurkan maklumat berkaitan konsep dan sains penyembelihan halal, kepentingan penyembelihan halal dalam konteks kesihatan umum veterinar serta teknologi semasa penyembelihan halal di Malaysia.

Disamping itu juga dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara UniSZA dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat luar.

sumber dari web UniSZA

Friday, October 29, 2010

Lawatan Akademik UNISSA ke UniSZA


KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menerima lawatan akademik dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam pada 25 Oktober 2010.

Lawatan itu diadakan untuk mengetahui perjalanan Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor dan Konvokesyen UniSZA memandangkan UNISSA akan mengadakan konvokesyennya yang pertama.

Ketibaan rombongan UNISSA yang diketuai oleh Timbalan Rektor, Pangeran Anak Dr. Haji Amiruddin Alam Shah Pangeran Anak Haji Ismail, Dr. Hajah Siti Sara Haji Ahmad dan Nurathirah Salihah Haji Mohd Salleh di UniSZA telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd Afandi Muhamad dan staf UniSZA yang lain.

Rombongan seterusnya ke Bilik Persidangan bagi sesi taklimat dan perbincangan mengenai perjalanan majlis konvokesyen oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Ismail Musa.

Selepas sesi tayangan video konvokesyen, rombongan dibawa melihat peralatan-peralatan konvokesyen UniSZA.

Pada sebelah petang pula diadakan satu perbincangan akademik melibatkan wakil UNISSA dan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) UniSZA. Antara yang diperbincangkan ialah mengenai peluang kerjasama yang boleh dilakukan antara kedua-dua belah pihak.

Rombongan juga dibawa melawat sekitar bandar Kuala Terengganu sebelum berangkat pulang ke Brunei pada keesokan harinya.

sumber:

http://www.unisza.edu.my

Monday, September 20, 2010

Majlis Sambutan Hari Raya Universiti Sultan Zainal Abidin 2010 / 1431H

Sumbangan tabung kebajikan dan perlindungan mahasiswa/wi UniSZA

KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menyerahkan sumbangan kepada tiga keluarga pelajarnya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Sumbangan di bawah tabung kebajikan dan perlindungan mahasiswa/wi UniSZA diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Profesor Dr. Abdul Manaf Ali pada 1 September 2010.

Sumbangan ini merupakan tambahan kepada perlindungan insuran Etiqa Takaful.

Sebanyak RM 6000 diserahkan kepada isteri Allahyarham Yusri Muhamad, pelajar Pascasiswazah Sarjana Usuluddin yang meninggal kerana sakit dada manakala bapa kepada Allahyarham Norhidayu Mokhtar, pelajar Diploma Pengajian Bank yang meninggal kerana lemas di Pantai Tok Jembal, menerima sumbangan sebanyak RM 5000.

Sementara keluarga Allahyarham Mohd Shirazi Ibrahim, pelajar Ijazah Sarjana Muda bahasa Inggeris yang meninggal kerana kemalangan jalan raya di Banggol Tuan Muda menerima RM 6517.50.

Pada majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat LPU, UniSZA kampus Kota itu turut dihadiri oleh Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Nordin Jusoh dan Timbalan Pendaftar (Pengurusan), Ismail Ahmad.

Berita KASWADI YUSOFF UKK

Wednesday, September 1, 2010

Related Posts with Thumbnails