Sunday, January 17, 2010

The Star Education Fair 2010




Written by Kaswadi Yusoff
Sunday, 17 January 2010 14:05


KUALA TERENGGANU – Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) telah menyertai pameran `The STAR Education Fair 2010’ pada 09 dan 10 Januari 2010.

Pameran yang diadakan di Dewan Pameran 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula jam 11 pagi hingga 7 petang.

Ianya bertujuan untuk memberi pendedahan tentang peluang pembelajaran kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar matrikulasi untuk mendapatkan maklumat berkaitan kursus pengajian yang ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia dan luar negara.

UDM diwakili oleh lima orang kakitangan terdiri daripada kakitangan Fakulti Informatik (FIT), Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Unit Komunikasi Korporat (UKK) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (PPPI).

Pameran ini juga disertai oleh empat buah IPTA lain iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga meluangkan masa melawat ke gerai-gerai pada hari kedua pameran.



Berita UMMU SOLEHAH MOHD/rar UKK

Gambar MOHD ROBI NORDIN PPPI

Wednesday, January 13, 2010

Lawatan Dr. Costas




Written by Kaswadi Yusoff
Wednesday, 13 January 2010 16:23


KUALA TERENGGANU – Dr. Costas Karatzas dari Universiti Megrill , Montreal , Canada telah mengadakan lawatan ilmiah berkaitan penyelidikan bioteknologi dan perubatan ke Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus Kota pada 12 dan 13 Januari 2010.

Pada hari pertama, beliau telah mengadakan lawatan ke makmal antaranya, Makmal Mikrobiologi, Makmal Biokimia, Makmal Anatomi Haiwan, Makmal Tisu Kultur dan Makmal Penyelidikan Siswazah.

Bersama beliau ketika lawatan tersebut ialah wakil Yayasan Diraja sultan Mizan (YDSM), Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi (FPB), Dekan Fakulti Teknologi Makanan (FTM), Timbalan Pengarah Pascasiswazah dan juga pegawai-pegawai UDM.

Pada hari kedua, Dr. Costas Karatzas memberi ceramah bertajuk ‘Biosteel (Spider Silk) and Biopharmaceuticals produced by Animal Bioreactors’ dalam seminar yang diadakan di Dewan Teater, UDM Kampus Kota.

Seramai 60 orang kakitangan dan pelajar UDM menghadiri seminar tersebut. Antaranya kakitangan FPSK, FPB, FTM dan juga pelajar Pascasiswazah. Turut hadir pada seminar tersebut ialah Naib Canselor UDM, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud.

Berita UMMU SOLEHAH MOHD UKK (Pelatih USM)

Gambar KASWADI YUSOFF UKK



Last Updated on Wednesday, 13 January 2010 16:27

Monday, January 11, 2010

Perlantikan Pangkat Kehormat Kor Suksis

Written by Kaswadi Yusoff
Sunday, 10 January 2010 13:56

KUALA TERENGGANU – Majlis Perlantikan Pangkat Kehormat dan Pelancaran Kor-Suksis, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) telah diadakan pada 9 Januari 2010.

Majlis yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UDM Kampus KUSZA itu bertujuan untuk mengiktiraf penubuhan Kor-Suksis dan Pegawai Kehormat yang telah dilantik oleh UDM.

Naib Canselor merangkap Komandan Kor-SUKSIS UDM, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud telah dianugerahkan dengan pangkat Asisten Komisioner Polis/Kehormat manakala Timbalan Komandan Kor-Suksis UDM, Nordin Jusoh memakai pangkat Superinten Polis/Kehormat.

Sementara itu, Ajutan Kor-Suksis UDM, Shahzool Hazimin Azizam dianugerahkan pangkat Deputi Superinten Polis/Kehormat dan Pegawai Latihan Luar Kor-SUKSIS UDM, Muzafar Md Din memakai pangkat Asisten Superinten Polis/Kehormat.

Turut menerima perlantikan ialah Pegawai Akademik Kor-Suksis UDM, Ismail Musa dengan memakai pangkat Asisten Superinten Polis/Kehormat.

Upacara perasmian dan pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC 1 Dato’ Mohd Shukri Dahlan.

Naib Canselor berkata, dengan adanya Kor-Suksis ini ianya dapat membantu pihak universiti secara terus dalam usaha melahirkan graduan atau modal insan yang berkemahiran tinggi, terlatih dan berdisiplin.

Turut hadir pada majlis itu ialah ketua jabatan, dekan-dekan dan pelajar UDM.

Berita UMMU SOLEHAH MOHD/ky UKK

Gambar KASWADI YUSOFF UKK

Last Updated on Sunday, 10 January 2010 15:22

Perkhidmatan Pengembangan Strategik Pertanian & Bioteknologi

Written by Kaswadi Yusoff
Wednesday, 06 January 2010 15:28

KUALA TERENGGANU – Fakulti Pertanian dan Bioteknologi (FPB) dan Fakulti Teknologi Makanan (FTM) dengan kerjasama Pusat Rundingan dan Pengabdian Masyarakat (PRPM) Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) mengadakan satu sesi dialog bertajuk ` Perkhidmatan Pengembangan Strategik Pertanian dan Bioteknologi ’ pada 24 Disember 2009.

Dialog bersama 17 wakil jabatan pertanian negeri Terengganu itu diadakan untuk berkongsi kepakaran saintis UDM dan seterusnya menyumbang untuk pembangunan modal insan di kalangan masyarakat di negeri ini.

Antara agensi yang terlibat dalam sesi dialog itu ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Perikanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian, MARDI, LKIM, Lembaga Pertubuhan Peladang, RISDA, Yayasan Pembangunan Usahawan, Yayasan Pembangunan Keluarga dan Yayasan Terengganu.

Turut terlibat ialah TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia, Lembaga Tembakau Negara, Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Felda Wilayah Timur, Jabatan Pelajaran dan dua orang wakil dari ECERDC.

Sesi dialog yang diadakan di Kuala Terengganu Golf Resort itu juga telah membincangkan banyak isu dan permasalahan yang dihadapi oleh agensi-agensi ini dalam usaha memajukan pembangunan pertanian rakyat di negeri Terengganu.

Selain itu, wakil agensi ada mengutarakan cadangan supaya beberapa kampung di negeri ini dijadikan `kampung angkat’ oleh UDM khususnya dalam bidang pemprosesan makanan berasaskan pertanian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Tuan Haji Rozi Mamat dalam ucapan perasmian penutup berkata, langkah yang diambil oleh pihak UDM merupakan satu langkah permulaaan yang baik dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat petani di negeri ini.

``Saya berharap supaya kerjasama yang terjalin di antara pihak UDM dan agensi-agensi pertanian negeri Terengganu ini akan mewujudkan satu dimensi baru dalam industri pertanian,’’ katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Dekan FPB, Prof. Dr. Mat Zakaria dan Dekan FTM, Prof. Dr. Che Abdullah Abu Bakar.

Berita KASWADI YUSOFF UKK

Gambar UNIT INOVASI & MULTIMEDIA PTM


Last Updated on Thursday, 07 January 2010 07:34

Kolokium Saintifik 2009

Written by Kaswadi Yusoff
Wednesday, 30 December 2009 15:55

KUALA TERENGGANU – Satu Kolokium Saintifik 2009 telah diadakan di Dewan Teater, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Kampus Kota pada 13 Disember 2009.

Program tersebut adalah anjuran bersama Pusat Kajian Klinikal dan Kualiti Hidup (PKKKH), Pusat Rundingan dan Pengabdian Masyarakat (PRPM) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) UDM.

Seminar ini memuatkan sebanyak empat siri ceramah dan perbincangan antara Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan para pengkaji herba UDM.

Program dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UDM, Prof. Dr. Abdul Manaf Ali ini berjaya mengumpulkan sebanyak 86 peserta termasuk ahli akademik dan juga kakitangan UDM.

Antara penceramah yang terlibat ialah Dr. Zakiah Ismail (IMR), Prof. Dr. Md Nordin Lajis (UPM), Prof. Dr. Zhari Ismail dan Prof. Dr. Asmah Rahmat (UPM).

Selain dapat meningkatkan keupayaan dan kepakaran penyelidikan di UDM menerusi kajian pre-klinikal dan klinikal yang memerlukan penglibatan manusia dalam situasi sebenar, program ini juga dapat menentukan kajian produk herba yang dilakukan oleh UDM adalah mengikut garis panduan penyelidikan yang diiktiraf dan beretika.

Ia juga menjadi tempat perkongsian pendapat dan percambahan idea-idea baru di kalangan para penyelidik dari institusi-institusi lain dengan ahli akademik dan para penyelidik UDM dalam memantapkan lagi aktiviti penyelidikan di UDM.

Berita KASWADI YUSOFF

Last Updated on Wednesday, 30 December 2009 16:15
Related Posts with Thumbnails