Wednesday, November 10, 2010

BENGKEL PENYEMBELIHAN HALAL 2010


KUALA TERENGGANU - Bengkel Penyembelihan Halal 2010 telah dianjurkan oleh Pusat Pengembangan & Khidmat Komuniti, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Makanan UniSZA, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu (JPVTRG), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Bengkel yang berlangsung pada 19 dan 20 Oktober 2010 ini disertai oleh 39 orang peserta terdiri dari JHEAT dan JPVTRG.

Majlis diisi dengan tiga sesi ceramah dimulakan oleh wakil UniSZA, Prof. Madya Dr. Mohamad Aziz Haji Taib dengan ceramah bertajuk ‘Kebajikan Haiwan Dalam Penyembelihan Halal’.

Manakala ceramah kedua berkaitan ‘Penyembelihan Halal dan Isu-Isu Semasa Penyembelihan Halal’ telah disampaikan oleh wakil JHEAT, Ustaz Mokhtar Salleh dan Dr. Siti Nurulasyikin Zaiton dari JPVTRG menyampaikan ceramah bertajuk ‘Post Mortem dan Hubungan Dengan Kesihatan Awam’.

Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai proses dan konsep pengurusan penyembelihan halal selain menambah pengetahuan serta kemahiran asas dalam penyembelihan haiwan mengikut hukum syarak.

Ujian praktikal penyembelihan ayam dilakukan di Makmal Pemprosesan Makanan, Fakulti Teknologi Makanan.

Sementara itu praktikal penyembelihan lembu dan kambing dilakukan di Rumah Sembelih Kg. Serating, Merchang dan para peserta dinilai oleh panel dari JHEAT.

Perasmian penutup bengkel dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Mat Zakaria, Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi, UniSZA yang turut dihadiri oleh wakil Pesuruhjaya JHEAT, wakil Pengarah Eksekutif MAIDAM, dan wakil pengarah JPVTRG.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat menyalurkan maklumat berkaitan konsep dan sains penyembelihan halal, kepentingan penyembelihan halal dalam konteks kesihatan umum veterinar serta teknologi semasa penyembelihan halal di Malaysia.

Disamping itu juga dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara UniSZA dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat luar.

sumber dari web UniSZA

Related Posts with Thumbnails