Friday, May 7, 2010

Program Cakna Berat/Wellness dan MYHESS 2010



Written by Kaswadi Yusoff
Thursday, 06 May 2010 14:54

KUALA TERENGGANU – Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK) dan Pusat Kesihatan Pelajar (PKP), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) menganjurkan Program Cakna Berat/Wellness dan MYHESS 2010 pada 6 Mei 2010 pagi tadi.

Program yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UDM Kampus KUSZA bermula dengan acara senamrobik yang disertai oleh kira-kira 100 orang terdiri daripada kakitangan universiti dan dikendalikan oleh Wan Saidi Wan Mohd.

Selain daripada itu, satu ceramah kesihatan bertajuk `Pemakanan Sihat’ telah disampaikan oleh Shuhanim Shukri, Pegawai Zat Makanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sementara itu pula, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UDM, Profesor Dr. Abdul Manaf Ali didalam ucapan perasmian berkata, pihak pengurusan universiti sentiasa menyokong penuh penganjuran program-program yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

Beliau juga berharap semua kakitangan UDM membuat pemeriksaan kesihatan tahunan dalam menentukan tahap kesihatan mereka.

Seramai 100 peserta mengikuti ujian MYHESS yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu manakala 24 peserta mengikuti program cakna berat.

Berita KASWADI YUSOFF UKK

Seminar Holistik 2010

Written by Kaswadi Yusoff
Thursday, 29 April 2010 09:15

KUALA TERENGGANU – Pusat Kajian Klinikal & Kualiti Hidup, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) telah menganjurkan satu seminar bertajuk Seminar Penjagaan Kesihatan Holistik 2010 pada 21 April baru-baru ini.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Abdul Manaf Ali mewakili Naib Canselor UDM, Dato’ Profesor Dr. Alias Daud.

Program ini mengandungi tiga siri ceramah dan perbincangan yang melibatkan penceramah-penceramah jemputan dari Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan dan juga seorang pakar psikologi kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada warga UDM tentang penjagaan kesihatan holistik sebagai pengembangan perspektif daripada perubatan konvensional dan juga memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan holistik dalam dunia perubatan dan kesihatan masyarakat sejagat.

Sesi dimulakan dengan ceramah bertajuk Enhancing Wellness Through Holistic Medicine yang telah disampaikan oleh Dr. Ramli Abd Ghani selaku Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, KKM.

Ceramah kedua yang bertajuk Quality of Life in Healthcare pula telah disampaikan oleh penceramah dari Pengarah, Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan iaitu Dr. Azman Abu Bakar.

Seminar ini telah berakhir dengan ceramah bertajuk Health Psychology in Holistic Healthcare yang telah disampaikan oleh Profesor Madya Hajah Normah Che Din yang merupakan Ketua Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UKM.

Hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UDM menghadiri seminar ini.

Sementara itu, majlis penutup telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UDM.

Lawatan Profesor Dr. Mohd Ismail Noor


Written by Kaswadi Yusoff
Thursday, 22 April 2010 15:38

KUALA TERENGGANU – Profesor Dr. Mohd Ismail Noor telah mengadakan lawatan sulung ke Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) kampus Kota pada 14 April 2010.

Beliau merupakan profesor pelawat bagi program Dietetik dan kini bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketibaan beliau disambut oleh Dekan, Profesor Dr. Ahmad Zubaidi Abd Latif dan kakitangan FPSK.

Profesor Dr. Ahmad Zubaidi memberi pembentangan secara ringkas sejarah FPSK UDM di Bilik Mesyuarat LPU dan beliau juga berharap agar Profesor Dr. Mohd Ismail dapat membantu penambahbaikan program Dietetik yang ditawarkan oleh FPSK.

Profesor Dr. Mohd Ismail juga turut mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar Dietetik di Makmal Kemahiran Klinikal 2 dan beliau menerangkan secara ringkas berkaitan penubuhan program Dietetik di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pada sebelah petang pula, satu ceramah akademik bertajuk `Malaysian Dietary Guideline 2010’ telah disampaikan oleh Profesor Dr. Mohd Ismail bertempat di Dewan Teater.

Seramai 70 orang peserta telah mengikuti ceramah akademik ini yang terdiri daripada wakil setiap Pusat Tanggungjawab UDM, Pegawai Dietetik Hospital Sultanah Nur Zahirah, kakitangan FPSK dan juga pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Dietetik.

Ceramah berkisar panduan pemakanan yang baru dilancarkan pada Persidangan Pemakanan Kebangsaan baru-baru ini.

Hadir sama pada ceramah itu ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FPSK, Profesor Dr. Nordin Simbak.

Related Posts with Thumbnails